Pelamin indah Kak Idah
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Foto RASHID MAHFOF
E-mel: wanitamingguan@utusan.com.my
DALAM perniagaan, faktor kelainan amat penting bagi membezakan antara satu peniaga dengan peniaga yang lain. Sebagai pengguna, persamaan sering menyebabkan mereka keliru dalam membuat pilihan. Justeru, peniaga yang menawarkan kelainan dan tambah nilai dalam sesuatu perkhidmatan sering menjadi tumpuan.
Percaya kepada kehendak sebegini, Ropidah Abd Majid, 46, wanita kelahiran Pekan, Pahang ini mencari kelainan dalam perniagaan butik pengantin yang diusahakannya selama lebih 10 tahun dengan menawarkan jualan pelamin pasang siap yang semakin menjadi rebutan ketika ini.
Beliau yang gemar membahasakan diri sebagai Kak Idah berkata, idea untuk menghasilkan rekaan pelamin pasang siap ini tercetus selepas memikirkan tidak ramai peniaga yang mengusahakannya.
"Saya sudah lama terlibat dalam perniagaan butik pengantin iaitu dengan membantu kakak ipar sebelum memiliki kedai sendiri.
"Dengan bantuan suami, kami terfikir mengapa tidak diusahakan sesuatu yang lain. Alhamdulillah, sehingga kini ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," katanya yang memiliki empat butik pengantin dengan nama C-Kin Anggun Collection di Mentakab, Temerloh, Bera dan Pekan, Pahang.
Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, beliau merupakan antara pelopor dalam menghasilkan pelamin sebegini di negeri Pahang dan menerima tempahan dari seluruh negeri itu hingga ke Terengganu serta beberapa negeri di Semenanjung.
Keistimewaan pelamin jenis ini katanya, ia mudah dipasang iaitu mengambil masa hanya sekitar 30 minit sahaja dan proses meleraikannya juga tidak mengambil masa yang lama. Selain itu, ia juga mudah diubah suai mengikut keadaan dan pelanggan yang memilih pakej yang ditawarkan bebas menentukan cita rasa yang mereka ingini.
Kerja-kerja penghasilan pelamin akan dilakukan oleh beliau sendiri dengan melukis rekaan yang dikehendaki seterusnya diserahkan kepada suami, Hanafi Abbas untuk menghasilkan pelamin yang diperbuat daripada besi itu.
Menurutnya, setiap pelamin berharga dari RM400 dan bagi yang lengkap dengan dekorasi keseluruhan boleh mencecah hingga RM3,000.
Menurutnya lagi, selain pengantin Melayu, pelamin buatannya kini turut diminati bangsa lain termasuk India dan orang asli.
Dengan memiliki lebih 600 pasang pakaian pengantin, 25 buah pelamin, tiga buah katil, 15 buah pintu gerbang dan 15 buah meja kek, butik andaman milik Kak Idah terus menjadi buruan bakal-bakal pengantin terutama menjelang musim cuti persekolahan.
Biasanya kata beliau, tempahan yang diterima datang lebih awal dan setiap minggu tidak kurang daripada empat pasangan pengantin akan memilih pakej yang ditawarkannya.
"Alhamdulillah, meski pun persaingan dalam bidang andaman pengantin memang hebat namun saya tidak menang tangan juga menguruskan perniagaan ini," katanya yang turut dibantu oleh lapan pekerja dalam menguruskan C-Kin Anggun Collection.
Menyentuh mengenai perancangan masa depannya, Kak Idah menyimpan hasrat mengembangkan lagi perniagaannya dengan memiliki cawangan butik di setiap daerah di negeri Pahang dengan yang terdekat bakal dibuka di Bentong. Selain itu, beliau juga akan memastikan perkhidmatan yang ditawarkannya sentiasa menepati cita rasa pelanggan dan tidak ketinggalan dengan kehendak fesyen semasa.
Bagi yang berminat mendapat perkhidmatan Kak Idah boleh menghubunginya di talian 019- 9320162/019-9116410 atau kunjungi butiknya.
Sunday, January 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment